Nikmat cuti 2 hari seminggu sangat – sangat dinantikan. Sesudah 5 hari bekerja, cuti hujung minggu boleh di isi dengan aktiviti riadah dan rekreasi bersama ahli keluarga. Namun begitu, pandemik Covid-19 sangat mengerikan sehingga menarik semua kebahagiaan yang kita nikmati selama ini. Bukan sahaja aktiviti fizikal malah solat Jumaat juga terpaksa dibatalkan.
Akur Perintah Kawalan Pergerakan
Bagi kita yang telah biasa dengan aktiviti luar, samada bekerja atau rekreasi hujung minggu, pasti amat sukar dengan keadaan duduk di rumah dan terpaksa melupakan pasar malam, kedai makan tomyam, kedai serbaneka, berhimpun bersama rakan taulan di restoran 24 jam dan lain – lain. Pada peringkat awal, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini hanyalah ibarat apa kepada kukur, nyiur juga yang binasa.
Hari ini, keputusan Kerajaan Malaysia mengumumkan PKP dan beberapa inisiatif lain dilihat sedang menuju kejayaan. Buat pertama kali dalam tempoh PKP, tiada kematian direkodkan. Kejayaan ini bukan datang bergolek, tetapi memerlukan pengorbanan daripada semua pihak.
Hikmah Di Sebalik Ujian
Tempoh ini sukar namun hikmah disebaliknya yang perlu kita sedari. Ujian ini melatih diri kita untuk bersabar. Kekal tenang dengan perintah dan undang – undang semasa. Yakinlah Allah itu Maha Mengetahui. Yakinlah Allah itu yang memberi dan mengurnia rezeki. Barangkali ini juga ujian untuk melatih kita bersyukur setelah berkali – kali mendapat nikmat terutama Ramadan yang bakal menjelang tiba.
Peluang kekal di rumah harus dimanfaatkan sebaiknya. Inilah masa untuk mengaudit rumah kita sendiri. Apa bahagian yang rosak, peralatan yang tidak berfungsi lagi, pakaian yang sudah tidak digunakan lagi atau lebih mengejutkan ada peralatan yang masih belum digunakan. Mungkin juga boleh meneruskan aktiviti – aktiviti yang terbengkalai seperti mengecat dinding, menggantung bingkai gambar atau membina taman mini di luar rumah.
Jika asyik memangku tangan, mati dalam angan – angan. Bila lagi hendak kreatif dan tunjuk hero pada anak – anak? Jangan jadikan alasan PKP ini untuk kita berasa malas dan tidak bermaya. Jadilah seperti sawa, ia berkehendakkan ayam. Kita sendiri yang mewujudkan ruang positif, maka suasana akan positif.
Doakan Pada Yang Esa
Ayuh, kekal di rumah dan sentiasa doakan keadaan pulih segera dan semoga kita dapat meraikan Aidilfitri dengan suasana yang paling manis. Saat berjauhan, jiwa meledak kerinduan!
Nota: Artikel ini ditulis pada 21 April 2020
0 comments