Sambungan daripada entri merancang DIY kabinet dapur IKEA, entry kali ini PR kongsikan pula proses pemasangan kabinet - kabinet tersebut. Berapa hari total pemasangan tu PR tak boleh nak rumuskan sebab PR pasang pada waktu malam selepas berbuka sampai ke sahur dan ada masa terhenti disebabkan penat dan alat tak mencukupi.
Pengalaman Memasang Kabinet Dapur IKEA
Kabinet DIY seumpama ini memang dah banyak di pasaran. Biasanya, kabinet pasang-siap ini disertakan dengan rujukan bergambar bagi membantu membuat pemasangan. Cuma bila melibatkan pemasangan custom seperti kabinet IKEA ini, perlu fahamkan sebaiknya arahan pepasangan. Ini boleh mengelakkan kesukaran kalau dah tersilap langkah.
PR ada sedikit pengalaman ketika memasang model motosikal, kereta dan robot maka sedarlah bahawa ada langkah - langkah yang kena skip dan didahulukan. Nanti PR ceritakan di bawah.
PR mulakan pepasangan dengan kabinet sudut. Boleh tahan berat tambah pula kerja bersendirian. Pada mulanya PR menggunakan pemutar skru manual. Straight forward, ikut sahaja arahan dalam manual. Ketika cuba untuk mendirikan kabinet, arahan supaya kabinet didirikan dengan 2 orang, untuk mengelakkan kaki kabinet patah (medium density plastic). setelah puas memikir, PR korbankan sekejap bantal sofa untuk dijadikan alas supaya bila kabinet didirikan, ia tergantung dan baru boleh masukkan kaki.
AWAS: kabinet yang telah siap dipasang berat. Lebih 20kg mengikut saiz
Dalam manual arahan, kabinet ini perlu digantung / skru ke dinding bagi mengelakkan kabinet terbalik. PR skip yang ni, sebab utama PR tak mahir untuk menebuk dinding jubin. Nak minta tolong orang semasa PKP bukan mudah. Jadi PR rapatkan sahaja ke dinding. Nasib tak menyebelahi, keadaan dinding dan lantai tidak rata. Ada ruang kecil yang mencacatkan.
Pemasangan kabinet seterusnya terhenti seketika disebabkan ada palang sinki yang terdahulu. Setelah alat kelengkapan ada, baru boleh teruskan. Leceh juga nak potong dengan kaedah manual. Nak taknak terpaksa potong.
Sebaik masuk kabinet untuk sinki, kedudukan pili pula berada selari dengan worktop yang akan dipasang. Sekali lagi terpaksa berhenti untuk mendapatkan idea bagi mengubah kedudukan pili sedia ada. Akhirnya, PR tinggikan outlet pili dengan menggunakan penyambung paip seperti elbow dan nipple. Tapi memang nampak cacat lah. Huhuhu
Bagi bahagian tong gas dan dapur memasak, kabinet ini boleh dipasang secara terus. Takde gangguan seperti palang besi dan pili. Cuma waktu ini dah mula terasa keletihan. PR ambil keputusan untuk membeli power tool untuk mempercepatkan proses pemasangan.
Untuk kabinet yang mempunyai drawer, perlu pasang rail siap - siap di bahagian kiri dan kanan kabinet sebelum dicantumkan (rujuk gambar). Kalau cantum dulu, kemudian baru nak pasang rail, pasti sukar dalam keadaan yang sempit.
Setelah siap semua kabinet asas dipasang, bolehlah menguji pemasangan pintu dan drawer. Kalau senget atau tidak tepat, boleh laraskan sampai puas hati. Ambil masa juga ni.
Proses akhir adalah pemasangan worktop. Worktop ini didatangkan dengan 2 saiz panjang sahaja iaitu 186cm dan 246cm. Kena potong bahagian yang tidak diperlukan. Kalau dibaca dari awal entry tadi, ya PR sebenanrnya kekurangan tools. Nak tebuk lubang untuk sinki dan dapur gas, PR terpaksa meminta tolong rakan sebab berat dan amat keletihan.
Untuk proses menebuk secara manual, mulakan dengan menggerudi, kemudian barulah gergaji. Mujur bukan solid wood, tapi berpeluh juga untuk gergaji. Pemasangan terhenti kerana dapur gas yang dipesan belum tiba (dalam seminggu baru sampai).
Sebelum merentas negeri ke Terengganu untuk menjemput ciktom dan anak - anak, Alhamdulillah kabinet dapur IKEA dan dapur gas baru beserta burner hood telah siap dipasang. Hooraayyy
Tips, masalah dan penyelesaian
1. Kena mahir dengan ukuran. Rasanya inilah kegunaan sebenar matematik dan sains kejuruteraan
2. Alat perlu mencukupi. Perlu rasional untuk pilih alternatif
3. Ambil masa untuk meneliti kesemua manual arahan untuk elak kerja 2 kali
4. Asingkan skru bagi setiap kabinet. Jangan campur - campur.
5. Buka 1 kotak sebelum buka kotak lain. Nanti payah nak bezakan unit yang sepatutnya.
6. Banyakkan bersabar sebab anda pilih untuk DIY!
0 comments