Lewat 2017, buat pertama kali PR berpengalaman menjadi seorang panel penemuduga bagi kekosongan jawatan di IKMJB. Pengalaman yang berbeza dan sangat berharga. Bukan senang hendak membuat keputusan akhir memandangkan calon mempunyai kelebihan masing - masing.
Rahsia Lulus Temuduga Kenaikan Pangkat
Minggu lepas, PR terpilih untuk menjadi panel pemerhati bagi temuduga kenaikan pangkat. Proses temuduga kenaikan pangkat memang dibuat oleh ibu pejabat. Apa yang PR lakukan minggu lepas adalah temuduga ringkas untuk pengesahan kenaikan pangkat setelah 6 bulan memangku jawatan.
Berikut, merupakan analisis dan cadangan PR buat anda yang bersedia untuk menghadiri temuduga pengesahan kenaikan pangkat.
1. Slide Presentation informatif
Zaman moden masakini bukannya susah untuk menyediakan slide pembentangan yang informatif dan menarik, lagi pula tentang diri anda. Luangkan sedikit masa untuk mempersembahkan kerjaya anda kepada panel temuduga. Tak rugi pun.
Banyak sumber yang terdapat di laman carian berkaitan slide presentation yang menarik. Jangan pula sediakan slide seperti budak tadika. Slide ini optional tetapi ada, kan lebih baik?
2. Nada Positif
Sentiasa kawal minda anda supaya bercakap, memberi tindak balas dan reaksi positif apabila berinteraksi dengan panel temuduga. Kalau dalam pergaulan seharian pun memang kita amalkan untuk bercakap nada positif, InsyaAllah ia lebih mudah semasa temuduga.
3. Sumbangan Terkini
Anda boleh ceritakan sedikit perihal latarbelakang kerjaya anda. Tapi jangan jauh sangat flashback sampai 10 - 20 tahun. Setahun sumbangan terkini sudah memadai lebih - lebih lagi sewaktu memangku jawatan. Kongsikan pengalaman, perbezaan dan cabaran ketika memangku jawatan baharu.
4. Faedah Kepada Organisasi
Ini point sangat penting. Dalam temuduga pengesahan kenaikan pangkat, pengurusan tertinggi sangat tertunggu - tunggu anda menceritakan faedah kepada organisasi sekiranya anda disahkan kepada jawatana baharu.
Jadi, anda perlu lebihkan masa serta menekankan peranan dan halatuju anda untuk mencapai hasrat, visi dan misi organisasi. Sediakan milestones 5 tahun akan datang, apa yang anda dan organisasi kecapi.
5. Kemahiran Komunikasi
Walaupun berada di kedudukan no.5 tetapi bukanlah kurang pentingnya kemahiran komunikasi. Anda perlu mahir dengan komunikasi lisan dan bukan lisan. Semasa temuduga, anda adalah titik tumpu jadi sekiranya ada kekurangan, ia sangat menangkap perhatian panel.
Buat Sehabis Baik
Peluang kenaikan pangkat bukan hadir dengan mudah jadi sekiranya anda layak dan berpeluang, buatlah sehabis baik. Baik untuk perjalanan karier anda, baik juga untuk organisasi anda bernaung. Ini tips temuduga kenaikan pangkat dari kacamata PR sendiri. Kalau praktis di organisasi anda berbeza, sekurang - kurangnya ini idea yang boleh anda sediakan sebelum proses temuduga.
0 comments