Apa khabar anda hari ini? PR mendoakan anda sentiasa sihat dan boleh melakukan aktiviti harian seperti biasa. Bak kata slogan badan cergas otak cerdas. Diri yang sihat mendorong kita melakukan aktiviti yang positif.
menjaga kesihatan diri ini adalah satu amanah yang perlu kita jaga. Kehidupan yang berkualiti bermula dari kesihatan yang baik, dan sekurang - kurangnya kita dapat mengurangkan kos untuk tujuan perubatan Baca selanjutnya
September lalu, PR disahkan menghidap penyakit kencing manis. Namun mungkin masih kategori awal. Bacaan gula pada September adalah 17.3 dan selepas melalui beberapa pengawalan makanan, bacaan menurun kepada 9.2 pada Oktober.
Sepanjang tempoh dari September sehingga entri ini ditulis, PR tidak mengambil sebarang ubatan, sebaliknya mengawal penuh pengambilan makanan dan minuman tinggi gula. Alhamdulillah simptom dan gejala sebelum ini tidak berulang cuma PR sentiasa mengambil langkah beringat supaya keadaan tidak menjadi lebih teruk dan sukar.
6 Tanda Penyakit Kencing Manis
1. Kerap Dahaga
Dahaga yang berlebihan walaupun setelah minum berkali - kali. Di waktu krisis dahaga, PR memerlukan air manis sejuk untuk menghilangkan haus di tekak tapi ternyata rasa dahaga tak hilang walaupun waktu tidur malam.
2. Kerap Buang Air Kecil dengan Kuantiti Banyak
Kerap ke bilik air. Langsung dari proses membuang air kecil, rasa dahaga semula muncul. Ini memaksa untuk minum dan proses ini berulang dalam masa singkat. Dahaga timbul bila badan cuba menambah cecair yang hilang.
3. Letih dan Lesu
Penghidap kencing manis akan cepat berasa letih dan lesu. Tambahan pula kerap terjaga tidur malam untuk ke bilik air ditambah dengan rutin kerja harian menyebabkan keletihan. PR pernah di tempat kerja seharian berehat di surau dalam keadaan lesu dan khayal.
4. Penurunan Berat Badan Mendadak
Dari segi bioliginya, glukosa tidak dapat diproses ke dalam sel badan, maka lemak dalam otot akan mengurai menjadi tenaga. Berat badan PR turun hampir 10kg dalam tempoh sebulan. Ramai yang menganggap PR bekerja keras untuk menghadapi sukan IKM/KKTM tapi ia perkara sebaliknya.
5. Kebas Kaki dan Tangan
Gejala kerap kebas di kaki dan tangan. Kadangkala otot kaki juga boleh jadi kejang semasa tidur. Dalam tempoh Ogos - September, tak kurang 5 kali mengalami kejang otot kaki.
6. Kabur Penglihatan
Penglihatan terjejas. Sewaktu paras gula tinggi, PR tidak dapat melihat dengan jelas papan tanda di jalan, malah terasa berkunang - kunang melihat paparan teks di telefon.
Mengawal Pengambilan Gula
Mengikut nasihat dan saranan pelbagai pihak termasuk profesional, sahabat handai dan ahli keluarga, PR mengambil keputusan untuk mengawal pengambilan gula. Sehingga hari ini PR dah biasa minum tanpa gula. Pada awalnya memang agak sukar tapi dah menjadi kebiasaan, ia bukan masalah yang besar.
Bagi anda yang pernah dan sedang mengalami gejala di atas, PR cadangkan segera periksa paras gula anda dan lakukan pengawalan yang sewajarnya. Bak kata pepatah, jangan sudah terhantuk baru terngadah.
0 comments