Masyarakat Melayu memang kaya dengan peribahasa. Ia diungkap sebagai satu alternatif kiasan bagi menyampaikan sesuatu maksud. Peribahasa yang PR ingin ketengahkan pada blog entri kali ini adalah "Kerana Nila Setitik, Rosak Susu Sebelanga".
Oleh sebab yang sedikit, rosak yang banyak. Oleh sebab kejahatan salah seorang anggota kumpulan atau masyarakat, maka orang lain juga mendapat nama yang buruk.
Kisah Guru dan Murid
Seorang guru menulis di papan hitam sifir 9. Guru fokus menulis sifir tersebut satu persatu:
1 x 9 = 9
2 x 9 = 18
3 x 9 = 27
4 x 9 = 36
5 x 9 = 45
6 x 9 = 54
7 x 9 = 63
8 x 9 = 70
Bingkas pelajar berteriak dan mentertawakan guru tersebut kerana menyedari kesilapan. Namun guru tenang dan secara bersahaja,
"Saya sengaja menulis begini dengan tujuan. Saya mahu kamu semua tahu inilah yang berlaku pada kamu di dunia luar sana."
Sambung guru lagi, "Kamu lihat saya telah menulis sifir yang betul 7 kali, tetapi tiada seorang dari kamu yang bersuara sebaliknya kamu menghukum dengan satu kesalahan yang saya lakukan. Dunia luar tidak akan pernah menghargai kamu walau kamu berbuat kebaikan sejuta kali malangnya akan mengkritik bila kamu membuat satu kesalahan"
Kerana Nila Setitik Rosak Susu Sebelanga
Jelas, melalui kisah di atas oleh sebab kesilapan yang sedikit rosak perkara betul yang lebih banyak. PR tegaskan, ini bukan cerita pasal tidak boleh dikritik tetapi lebih kepada isu kewajaran dalam mengkiritik kesalahan minor apatah lagi ia adalah kali pertama.
1. Mendidik anak melalui teladan
Psikologi mendidik anak adalah sangat kritikal lebih lagi dalam usia peralihan. Peningkatan minat, pemikiran dan tindakan menjadikan mereka gemar mencuba sesuatu yang baru. Boleh jadi semasa proses tersebut, anak - anak tersilap langkah dan sebagai ibubapa haruslah menangani situasi dengan bijak.
Ibubapa harus mengelak untuk terus menghukum sebaliknya mendidik melalui teladan. Jangan lupa perkara baik yang pernah dilakukan. Jangan lupa kelebihan dan kekurangan anak - anak itu. Hukuman keras sebenarnya hanya menjadikan keadaan lebih buruk.
2. Menggalak pelajar berfikir luar kotak
Dalam proses menimba ilmu, tidak dapat tidak pasti akan berlaku kesilapan. Pengajar yang berdedikasi akan sentiasa cuba membantu dan mendidik pelajar yang bermasalah baik dari segi akademik mahupun disiplin. Berikan pelajar tersebut ruang untuk menyedari dan memperbetulkan kesalahan.
Menghukum pelajar bukan jalan penyelesaian masalah. Sebaliknya, pengajar perlu menerang serta menggalakkan pelajar berdikari dan berfikir di luar kotak! Masa depan mereka masih panjang.
3. Pekerja lelah, organisasi rebah
Organisasi itu dibina berdasarkan sekumpulan manusia yang bekerja bersama bagi mencapai matlamat yang sama. Pengurusan atasan dan pekerja perlu menjalin kerjasama baik bagi mengelakkan konflik.
Pekerja profesional itu pun manusia. Maka manusia mempunyai emosi. Keadaan mungkin boleh berubah akibat emosi. Janganlah sekali pekerja anda membuat kesilapan, anda lupa 10 kebaikan yang pekerja anda telah lakukan untuk organisasi anda!
Dan berpegang teguhlah kamu kepada tali (agama) Allah, janganlah kamu berpecah belah dan ingatlah kamu akan nikmat yang dikurniakan Allah kepada kamu...-Al-Imran, 103
Nota Kaki
Janganlah kerana kuasa dan kedudukan, kita cepat menghukum dek kerana kesilapan yang minor. Bawak - bawaklah berbincang mungkin ada jalan penyelesaian yang lebih baik.
0 comments