Banyak perkara yang dihajati dalam melusuri kehidupan yang singkat ini. Semestinya perkara yang diinginkan itu merupakan sesuatu yang memberi impak kepada kehidupan yang lebih baik. Namun setiap perkara yang diidamkan itu adakala mudah dan adakala menjadi sebaliknya.
Pengayuh sayang dibasahkan, sampan tidak akan sampai ke seberang
Peribahasa di atas membawa maksud "usaha diperlukan untuk mendapat sesuatu yang dihajati". Bagi pemikiran kritis yang positif, formula ini mengandaikan jika anda ada usaha, ada tindakan tidak mustahil kejayaan menanti anda. Formula mudah untuk difahami.
Tetapi, jika pemikiran disulam nada negatif, kita akan mengandaikan sampan boleh juga ke seberang tanpa mengayuh pendayung. Biarkan mengikut arus lama - lama ia ke seberang jua. Kata orang, untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Hanya menyerah nasib tanpa melakukan apa - apa usaha. Mungkin boleh jadi perjalanan lebih cepat, lambat atau terpesong jauh dari matlamat asal.
Tinggal dan jauhkan pemikiran seumpama itu!
Fokus kepada peribahasa asal di atas, persoalannya : Sejauh mana usaha yang diperlukan? Apa jenis usaha yang diperlukan? Berapa lama usaha yang diperlukan? Persoalan - persoalan ini merupakan titik tolak faktor penentu bagi kejayaan seseorang.
Bagi seorang pelajar, tentunya mempunyai sasaran dan pencapaian tertentu yang diharapkan semasa sesi pengajian. Sasaran itu mungkin termasuk sekadar mendapat sekeping "sijil", hanya cukup makan, atau cemerlang di dalam setiap matapelajaran yang diikuti. Jadi, anda boleh bayangkan di tahap mana usaha yang diperlukan untuk mendapat prestasi cemerlang?
Dalam situasi yang berlainan, seseorang yang masih baru dalam dunia pekerjaan : Adakah cukup sekadar ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diraih semasa belajar? Mereka perlu sedar persaingan di tempat kerja tidak sama langsung dengan persekitaraan di alam sekolah atau pengajian tinggi. Mereka perlu menggandakan usaha untuk terus kekal bersaing dan menyesuaikan diri dengan cepat di suasana baru.
Selain disiplin, korang kena cepat belajar dan sabar. Korang jangan memilih kerja, sebaiknya korang buat je apa yang senior suruh di samping boleh belajar dengan pengalaman diorang. Kalau korang taktahu, minta diorang ajarkan dan korang usaha untuk belajar dengan cepat.
Apa yang saya pernah lalui dulu banyak mematangkan sehingga saya boleh berada kedudukan sekarang. Bila difikirkan semula, pensyarah kita hanya pencetus saje, selebihnya diri kita sendiri yang menentukan samada untuk berusaha lebih atau berterusan malas.....
En. Amirul Afiq Anuar |
Ini baris ayat yang sempat PR ringkaskan melalui sesi perkongsian salah seorang alumni Dip. Tek. Kejuruteraan Gas semasa majlis Seminar Kerjaya : Mana Arah Tujunya? anjuran Persatuan Pelajar Gas (GSS). PR sendiri berasa bangga melihat anak didik telah berjaya dan bercakap dengan yakin di hadapan ratusan pelajar junior dan pensyarah yang pernah mengajarnya.
Sebagai rumusan, perlu ada faktor penggerak untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati. Hidup kita sendiri, bergantung kepada usaha kita sendiri. Jika anda mahu berjaya tetapi hanya berdiam diri mengikut arus, PR khuatir anda akan terpesong dan tidak bertemu di puncak kejayaan kelak.
Sekian.
0 comments