Terdengar lagu Pening dendangan Ezlynn & M Daud Kilau ada menyebut 'bagai hempedu lekat di hati'.. Terdetik untuk mengetahui maksud peribahasa itu dan aku mendapat jawapannya, tidak dapat dipisahkan. Jika anda lihat dalam kehidupan ini juga banyak perkara bagai hempedu lekat di hati.
Isu kali ini aku cuba kaitkan pengaruh rakan sebaya, bagai hempedu lekat di hati dalam kehidupan. Dari zaman kanak - kanak, meningkat ke awal remaja dan beralih ke peringkat dewasa, pasti hidup kita dikelilingi dengan rakan taulan, sahabat handai yang boleh dikelaskan sebagai rakan sebaya.
Rakan sebaya adalah berperanan penting dalam mengisi kehidupan kita. Walaupun pendapat lain mengatakan rakan sebaya ini rakan yang seusia dan mempunyai kegemaran yang sama, cuba kita kembangkan sedikit skop takrifan rakan sebaya kepada rakan yang mendampingi dan menggauli kita.
Rakan sebaya boleh mempengaruhi watak dan perwatakan seseorang. Samada perwatakan yang positif atau sebaliknya, bergantung kepada rakan yang didampingi. Pada situasi ini, individu yang dominan akan berjaya mempengaruhi rakan lain sebagai pengikut.
Eksplorasi Hutan sebagai Riadah
Rakan sebaya yang selalu bersama, pasti akan menimbulkan keserasian, kepercayaan dan tanggungjawab antara satu sama lain. Kadangkala, ia sebagai tempat untuk mengadu, bercerita dan berkongsi masalah dan cuba untuk sama - sama menyelesaikannya.
Kadangkala, rakan sebaya juga sebagai individu yang boleh memberi nasihat dan pandangan dalam sesuatu perkara. Seperti yang kita ketahui, kita tidak boleh melihat diri sendiri tanpa bantuan lain seperti cermin atau paparan gambar. Begitu juga dengan kehidupan, kita tidak boleh dengan hanya melihat diri sendiri dan kadangkala perlukan bimbingan dan nasihat orang lain juga.
Aku rasa setakat ini sahaja. Anda perlu bijak memilih rakan sebaya, dan juga bijak dalam menentukan sebarang keputusan bersama. Anda yang tentukan, memilih rakan sebaya yang berguna atau memilih rakan sebaya yang menuju kehancuran. Lihat cermin, tanya diri anda.. Sekian
0 comments