Aktiviti hujung minggu diteruskan dengan ekspedisi mendaki Gunung Arong yang terletak di Tanjung Resang, Mersing. Gunung ini tidaklah tinggi, mengikut apa yang aku baca, ia hanyalah kurang dari 1000 kaki tetapi ia tetap dipanggil gunung. Ekspedisi kali ini bersama dengan sebahagian pelajar Semester 2, 4 dan 5.
Mengikut apa yang dimaklumkan, trek pendakian boleh dimulakan dari kolam air terjun ataupun daripada pantai. Ikut suka lah hendak bermula dari mana. Kumpulan pendakian kali ini bermula daripada pantai dan berakhir di air terjun.
Permulaan Pendakian
Permulaan pendakian agak curam dan bagi kudrat aku, ia memenatkan. Beberapa kali aku terpaksa berhenti untuk menghela nafas dan merehatkan kaki. Pelajar rata - rata tidak bermasalah untuk mengharungi kecuraman tersebut. Bagaimanapun mereka terpaksa menunggu aku hehee.
Trek kemudiannya bercampur - campur, landai dan mendaki. Di kesempatan ini sempat untuk aku mengatur pernafasan semula dan menikmati pemandangan laut di celah - celah pokok. Tidak lama kemudian kumpulan pendaki tiba di view point, tempat di mana pemandangan yang tidak terhalang oleh pokok dan boleh melihat laut luas.
Permandangan dari view point Gunung Arong
Perjalanan diteruskan dan sampai ke kemuncak Gunung Arong. Pemandangan di puncak tidaklah bagus berbanding permandangan semasa di view point. Terdapat satu wakaf di situ dan kumpulan sempat untuk berehat dan mengumpul tenaga semula.
Perjalanan turun tidak memberi sebarang masalah, tidak menggunakan banyak tenaga tetapi aku rasa kalau trek itu digunakan untuk pendakian, rasanya lagi memenatkan. Terlalu curam dan terdapat sedikit sahaja kawasan landai. Di hujung trek, kumpulan pendaki teruja melihat air terjun tetapi malangnya kawasan air itu dikepung dengan simen menyebabkan keladak terkumpul dan air tidak begitu bersih dan tidak mendatangkan selera untuk mandi.
Dalam perjalanan pulang, kumpulan pendaki singgah di pantai Air Papan untuk menikmati air laut dan pulang menuju IKM pada jam 5 petang. Dalam hati, macamana agaknya menawan Kinabalu kelak? huhuu,