Jalan - jalan di Jambatan Saloma, KL (2023)
Denting notifikasi emel memahat mata ke arah layar telefon pintar. Domain padinrose.com has expired! Sekaligus kenangan - kenangan memulakan blog, saat kegemilangan sehingga lah saya sedar pada tahun 2024, saya hanya sempat mengisi 2 artikel sahaja dalam pengisian padinrose.com.
Begitu sibukkah saya sehingga melupa dan mengenepikan lembaran blog ini yang telah terbina sejak 2009. Saya akui 2025, blog bukanlah media utama masakini. Kegemilangan blog sedikit demi sedikit terhakis dek kehadiran platform media sosial yang baharu.
Namun, saya masih meneruskan "Perjalanan Ini", suatu tema yang saya dukung semasa menggunakan domain padinno.com. Saya masih sayangkan penulisan - penulisan terdahulu. Saya masih sayangkan kenangan dan jatuh bangun perjalanan hidup saya menerusi perkongsian dalam blog ini.
Mungkin ada sahabat blogger yang masih kekal dan setia dengan blognya, mungkin juga ada sahabat blogger yang dah meninggalkan penulisan. Ada sahabat blogger yang saya kenal masih belajar dan kini sudah beranak 4. Mungkin juga ada sahabat blogger yang telah pulang ke negeri abadi. Apapun yang sahabat lakukan sekarang... mudah - mudahan semuanya baik - baik belaka.
Ada rezeki,saya akan terus memperbaharui domain padinrose.com untuk tahun berikutnya walaupun mungkin saya tidak langsung mengemaskini artikel baharu. Biarkan saja artikel lama jadi hiasan dalam lembaran perjalanan padinrose.com (penjenamaan pada 2016).
Ish, sambil taip bercampur baur rasanya. Ada rasa seronok mengenang iklan Nuffnang, sembang - sembang di kotak chat, sembang di kedai kopi, sembang - sembang di dunia nyata, bercakap dalam telefon, belajar code html, review barangan, bikin tutorial, perkongsian tips dan banyak lagi. Cuma rasa hiba bila semua tu dah berlalu.
Tengoklah, kalau saya rajin saya kemaskini la blog ni dengan aktiviti - aktiviti terkini. Mengharapkan ada lagi insan yang masih membaca blog niche personal. :)