Seminggu bekerja dengan rutin yang hampir sama, bila tiba hujung minggu nak ubah sesuatu terutamanya tempat makan. Kadang - kadang, suasana dan pilihan makanan yang berbeza boleh juga mengubah mood. Untuk review kali ini, saya bawakan tempat makan yang best di 68 Avenue, Pusat Komersil Suria, Gelang Patah @ Iskandar Puteri.
7 Tempat Makan Best di Gelang Patah 2023
68 Avenue, Pusat Komersil Suria baru saja dilancarkan kalau tak silap tahun 2022. Tapi pada artikel ini ditulis (Jun 2023), kebanyakan bangunan perniagaan telah diisi dengan penawaran pelbagai jenis perniagaan dan perkhidmatan daripada kedai makan, kedai emas, kedai perabot malah banyak juga pusat perkhidmatan perubatan.
Boleh kata banyak juga pilihan kedai makan di pusat komersil Suria ini, ditambah pula dengan lot parking yang banyak. Sesuai dengan namanya pusat komersil ini seakan pulau dan tidak terganggu dengan jalanraya utama. Baik, saya senaraikan 7 tempat makan best di Pusat Komersil Suria yang anda boleh cuba jika singgah di area Iskandar Puteri atau Gelang Patah.
1. Restoran Nasi Kandar Al-Safa
Cawangan ini baru sahaja dibuka pada Mei 2023. Ini memang penyelamat la sebab dibuka 24 jam. Penggemar nasi kandar pasti singgah untuk menjamu selera. Setakat saya singgah makan dan lalu, memang sentiasa rancak. Selain nasi kandar, ada juga pilihan roti canai, masakan bergoreng dan pilihan naan tandoori cheese tarik leleh!
2. Restoran Anjung Selatan Gelang Patah
Bagi penggemar makanan tengahari berkonsepkan masakan melayu ala - ala masakan kampung seperti patin masak tempoyak dan siput sedut, anda boleh menikmatinya di Restoran Anjung Selatan. Premis ini berjiran sahaja dengan Nasi Kandar Al-Safa. Menurut fb rasmi, Cawangan Restoran Anjung Selatan dah dibuka di Pasir Gudang.
FB Rasmi Restoran Anjung Selatan Gelang Patah
3. OSB Premium Gelang Patah
Jika Anjung Selatan jiran sebelah kiri Al-Safa, OSB Premium pula jiran sebelah kanan Al-Safa. Waktu beroperasi 11 pagi hingga 11 malam, dimana tempahan terakhir 1045 malam. Janganlah pergi lewat sangat, kadang - kadang menu pun dah terhad. Menu utama OSB Premium ni tak lain tak bukan burger premium. Tapi ada juga pilihan macam nasi lemak ayam rendang. Sesuai lah tagline it's not just a burger. Pilihan menu di OSB Premium boleh tengok katalog ni. Pilih siap - siap, datang tinggal pesan saje.
4. Universal Sambal Gelang Patah
Jika anda ingin menikmati makanan pedas Level 12, boleh cuba cawangan ke-4 Universal Sambal di Gelang Patah. Betul. Tahap kepedasan sambal di restoran ini bermula dari Level 5, 8 dan 12. Level 12 ni saya boleh deskripsikan pedas dia tu, lepas makan tangan anda akan rasa panas terbakar. Pelbagai jenis sambal juga disediakan seperti sambal hijau, merah dan lain - lain nama yang pasti anda rasa nak cuba.
Untuk anak - anak kecil yang tak makan sambal, jangan risau. Masih ada makanan sampingan seperti sosej dan nuget ayam. Adira suka hirup sup ayam geprek. Kena minta sup tambah setiap kali menikmati selera di sini.
5. Nasi Padang Makwin
Yang ni, saya cadangkan untuk makan tengahari, walaupun restoran ini menyediakan menu istimewa sehingga malam. Aneka jenis lauk dan sayuran bertemakan makanan Padang disediakan untuk makan tengahari. Premis agak kecil berbanding 4 premis yang saya tuliskan di atas. Jadi agak bersesak juga kalau waktu puncak dan makan pon kena laju untuk beri laluan bagi pelanggan yang datang. Ayam rendang dia boleh bagi saya ulang dan ulang.
6. Nasi Arab Mahbuba
Nasi kandar sudah, masakan patin tempoyak sudah, burger sudah, sambal pun sudah, nasi padang juga.. kali ni jika anda mahu mencuba nasi arab, boleh menuju ke Restoran Nasi Arab Mahbuba. Ada pilihan makan di meja tinggi dan juga boleh pilih untuk bersila dengan meja rendah. Saya pernah mencuba nasi mandy tapi saya lebih berminat dengan nasi makluba. Lebih masin sedikit dan enak. Adira suka makan piza. Terpejam - pejam mata ketika menikmatinya.
7. Zainik Cafe
Zainik Cafe pula menyediakan hidangan asam pedas sebagai signature dish mereka. Tersedia dalam bentuk set dulang malah juga ada dalam claypot. Selain asam pedas, ada juga masak lemak cili api dan menu sampingan yang tak kurang juga power. Cafe ini menggunakan sistem pesanan QR code. Cafe yang bersih dan sesuai untuk bersantai - santai.
FB Zainik Cafe
Pusat Komersil Suria: One Stop Centre
Bagi saya, pusat komersil ini boleh kata one stop centre. Bukan sahaja kedai makan best, tetapi juga premis - premis lain. Selepas makan kalau nak cuci mata boleh juga masuk ke Al-Ikhsan, De Aurora dan banyak lagi. Atau kalau nak periksa kesihatan, banyak pilihan klinik tersedia di pusat komersil ini.
0 comments