Fuh… berhabuk sungguh blog ni, sebelum musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi kaedahnya. Memasuki fasa kedua PKP, memang dah semakin tepu jadi PR ambil kesempatan untuk melayan hobi. Kali ini, PR ketengahkan proses membina kereta peronda polis Skuad Helang menggunakan model Tomica Mitsubishi Evo X.
Stay at Home, Stay Safe!
Macam biasa, sebelum memulakan proses pengubahsuaian, kena pastikan alat dan kelengkapan mencukupi. Kalau tak nanti, boleh mengganggu emosi.
Proses memisahkan body kereta dengan tapak bawah menggunakan mata drill 3.5 mm dan 4.0 mm. Tanpa menggunakan sebarang mesin, PR pulas sendiri mata drill dengan tangan (beserta sedikit sumpahan).
Bila body sudah terpisah, senang proses untuk membuang cat lama dan proses mengenakan warna baru. Buang cat lama banyak kaedah, PR pilih menggunakan paint remover (spray). Hati – hati jika anda menggunakan paint remover, sebab kalau terkena kulit boleh jadi binasa. Paint remover bersifat merengsa kulit.
Proses mengecat warna baru. kereta polis sudah pasti warna putih. Jadi, untuk undercoat juga pilihannya adalah warna putih. Kemudian tambahkan lagi lapisan warna putih sesedap rasa. Jangan berlebih – lebih, nanti hilang pula garisan – garisan di body kereta.
Kemudian, perlu menambah warna hitam pada beberapa bahagian termasuk dashboard. Mulakan proses masking dengan tahap kesabaran yang tinggi. Tinggalkan bahagian yang perlu diwarna hitam sahaja selain daripada itu, balut habis!
Proses kali ini agak sempurna berbanding beberapa cubaan untuk model lain masa dulu. Setelah cat diyakini betul – betul kering, bolehlah meneruskan proses menampal decal (sticker khas) untuk kemasan akhir. Malangnya, tahap motivasi ketika proses ini menurun, dah hasilnya tidak begitu mempesonakan. Comot lah senang cerita.
Apa pun, PR rasa ini projek yang paling puas hati. Kos projek ini menelan belanja RM46. Pecahan kos adalah seperti berikut
- Model kereta: RM 21 (2018)
- Decal: RM10 (fb Jiwa Custom)
- Set tayar: RM15 (fb Jiwa Custom)
- Cat putih, hitam dan clear: sedia ada
- Masking tape, pisau pemotong dan gam: sedia ada
Giliran selepas ini, Tomica Toyota Velfire!
Sekian.
0 comments