Bulan November, genap 6 bulan PR dan ciktom menggunakan Perodua Axia untuk pelbagai urusan. Tetapi pada kebanyakan masa, PR menggunakan Perodua Axia ini untuk berulang alik ke tempat kerja. Sesekali, PR berselang menggunakan Odyssey. Jarak antara kediaman ke tempat kerja adalah 25km.
Selain ke tempat kerja dan bersiar – siar di hujung minggu, PR juga pernah gunakan Perodua Axia ini untuk pulang ke kampung di Terengganu iaitu pada Ogos (cuti raya Haji) dan awal Oktober serta ke Port Dickson pada pertengahan Oktober untuk tujuan kursus di Hotel Klana Beach Resort.
Bagi tempoh 6 bulan ini, PR tidak mengubah apa – apa baik modifikasi prestasi mahupun kemasan kenderaan. Standard kilang. Cuma Axia ini telah mencapai jarak perjalanan 10,000 km dibawah masa 6 bulan.
Yang menarik untuk ditulis:
1. Jimat Minyak. Seperti mana ramai orang dan Perodua sendiri claim, Perodua Axia ini memang jimat minyak. Maybe tak pernah dapat 22km/l tapi secara purata dalam julat 17 – 20km/l pun sudah puas hati. Balik Terengganu menggunakan jalan pantai Mersing – Endau – Rompin dan LPT, hanya RM68.00 (dua kali isi full tank bila bar petrol cecah 3 bar).
2. Ruang selesa. Ini PR sendiri claim. Ruang selesa ini mungkin hanya untuk family kecil seperti family PR. Kalau anak kecil 2 – 3 orang, mungkin tidak sesuai lagi untuk perjalanan jauh.
3. Kereta kompak mudah menyelit. Kalau sebelum ini, PR agak pesimis tentang ruang parkir bila menggunakan MPV. Jadi kebanyakan tempat sempit dan kurang ruang parkir, PR akan berlalu sahaja. Menggunakan kereta kompak, masalah ini dapat dikurangkan dan masalah bebelan Ciktom juga turut dapat dikurangkan.
4. 110km/j di lebuhraya. PR menggunakan Highway Perling-Pontian setiap hari. Walaupun kena tol RM2.30 sehala, ini jalan yang paling menyenangkan hati berbanding alternatif lain. Lagipon boleh kumpul dan tebus mata ganjaran PLUSMiles. Axia boleh layan lagi dengan kelajuan 110 – 120km/j di lebuhraya. Ok lah tu, bukan nak bawa berlumba.
Update: Harga tol Perling RM1.88 (7/7/2020)
Yang kurang menarik untuk ditulis:
1. Kereta ringan. Almaklumlah, Axia ini bukan dicipta untuk kelajuan. Jadi bila di lebuhraya, kereta ini amat terasa “ringan” dan mudah membuai bila berselisih atau dipotong kenderaan besar seperti lori atau bas. Kalau rendahkan pusat graviti, mungkin masalah ini boleh dikurangkan sedikit tapi belum dapat lampu hijau dari Ciktom.
2. Bunyi angin. Bagi sesetengah orang tidak suka bunyi angin. Tapi bagi PR, ok je. Tidak mengganggu fokus pemanduan. Cuma walaupun tidak menjejaskan PR, demi pembaca PR tulis juga lah masalah Perodua Axia ini.
3. Keselesaan. Tajuk ini sangat subjektif. Melalui penilaian peribadi PR, ruang dalaman selesa, namun mungkin jenis tempat duduk yang seakan tegak dan keras membuatkan cepat berasa letih. Kalau perjalanan jauh, memang sedap sangat kalau dapat melonggarkan urat setelah 2 jam memandu.
Axia G: Wira dalam bandar!
Itu sahaja pendapat PR bagi tempoh 6 bulan memandu Axia. Setiap kereta juga pasti ada lebih dan ada kurangnya. Ingat kembali tujuan asal anda memilih kereta, samada untuk laju, jimat minyak atau bermegah di jalanraya? PR beranggapan, Axia ini seolah wira masakini di dalam bandar – jimat petrol dan mudah menyelit!
0 comments