18 MEMORI MENDAKI GUNUNG KINABALU
Tanggal 29 Jan 2015, PR menjejak puncak tertinggi Gunung Kinabalu, Low’s Peak 4095.2 meter dari aras laut. Biarpun telah 4 tahun, namun memori pendakian masih segar dalam ingatan.
Rasa Penat dan Letih Yang Tidak Dilupakan
Berikut, PR titipkan pengalaman sepanjang pendakian, dan juga sedikit tips jika anda baru pertama kali berhajat mendaki Gunung Kinabalu.
1. PR memulakan pendakian di Timpohon Gate pada 9.30 pagi. Ada satu lagi laluan masuk melalui Mesilau. Selesai mendapat pengesahan pendakian, PR dan 28 ahli lain (group MARA Hikers) bersedia untuk memulakan pendakian.
2. Sehelai sepinggang, cukup sekadar membawa sedikit makanan dan minuman untuk bekal sepanjang pendakian. Sediakan juga baju hujan (poncho) dan windbreaker untuk langkah berjaga – jaga jika suhu turun mendadak. Persalinan untuk summit attack pada awal pagi, anda boleh upah porter mengikut harga semasa. PR membawa kelengkapan sebanyak 8 kg, dan kadar semasa (2015) adalah RM10/kg.
3. Bekalan air tidak perlu bawa sebanyak – banyaknya, kerana banyak pondok rehat disediakan sepanjang laluan pendakian, dan di setiap pondok disediakan sumber air yang boleh diminum. Sejuk macam simpan dalam peti ais!
4. Hampir keseluruhan pendakian 6km pertama, anda akan dihidangkan dengan tangga. Seolah tiada berpenghujung. PR bukanlah fit sangat, dalam 2km pertama pun entah berapa kali berhenti. Slow, tapi masih mengikut time-frame oleh guider. Tumbuh – tumbuhan sepanjang pendakian juga berbeza mengikut ketinggian.
5. PR tiba di KM1.5(2164M) pada jam 10.01 pagi, dan tiba di checkpoint KM2.0(2252M) pada jam 10.25 pagi. Perjalanan diteruskan sehingga KM3.0(2634M) pada 12.22 tengahari. Masa ni, kaki PR sudah mula terasa sakit dan hampir kejang.
6. Kawan – kawan lain mendahulu entah berapa jauh. PR dan 2 lagi rakan mendaki santai, maintain pace walaupun slow. Menuju jam 1.00 petang, gerimis mula turun. Pendakian diteruskan menuju KM4.5(2898M) dan tiba pada checkpoint pada 2.10 petang.
7. Pada ketinggian ini, kabus mula menebal. Betis yang disapu dengan Yoko – Yoko mula terasa panas. Jadi PR decide untuk tanggalkan seluar track panjang. Rasa lebih selesa.
8. Kami tiba dan berehat panjang di KM5.0(3001M) jam 3.15 petang, (500-meter dalam masa 1 jam!) sambil menunggu 3 lagi rakan yang terakhir. Jangan risau, talian telefon superb sepanjang pendakian. Bateri jelah mungkin cepat habis. Powerbank sangat – sangat membantu.
9. Kumpulan terakhir tiba di Laban Rata jam 4.59 petang. Rasa lega sangat sebab masih dalam waktu yang dibenarkan. Dalam fikiran, dah lupa penat dan kejang otot. Sekarang, hanya terfikirkan makan! Ye, di Laban Rata boleh makan, rehat dan tidur sebelum summit attack pada awal pagi.
10. Jangkaan meleset. PR ingatkan asrama Gunting Lagadan dah dekat sangat dengan Laban Rata, rupanya perlu mendaki lagi dalam 200-meter. Aduhai… Kenyang pun boleh jadi lapar semula. Mendaki tangga lagi, dan sampai di Gunting Lagadan jam 6.01 petang.
11. Usai membersihkan diri dan solat, tanpa berborak panjang, terus lena. Tak perlu tunggu lama, balut badan dengan selimut dan jaket tebal – ZZZzzzz..
12. Jam 2 pagi, urusetia mengejutkan kumpulan pendaki. Sarapan disediakan, tapi memikirkan perlu turun semula ke Laban Rata, jadi pagi itu bersarapanlah dengan mee segera sahaja. Persediaan seperti jaket, sarung tangan kalis air dan penutup muka penting, sangat penting! Opps lampu jangan dilupa. Ini super penting!
13. Summit attack bermula pada 2.30 pagi. Masih lagi pendakian anak tangga. Mendaki dalam keadaan sejuk lebih cepat memenatkan. Tambahan pula keadaan gelap dan pandangan terhad. Perlu tiba di Sayat – Sayat sebelum 5 pagi. Jika gagal dalam tempoh ini, anda tak dibenarkan untuk meneruskan pendakian.
14. Bermula pendakian mengikut lereng gunung, menggunakan tali. Perlu fokus, hati – hati dan jangan gelojoh. Masa gelap memang tak nampak, tapi bila siang, laluan ini adalah betul – betul di lereng gunung yang sebelahnya adalah gaung yang sangat dalam!
15. Kata orang, langit sangat cantik dengan bintang – bintang gemerlapan. PR tak merasa untuk menikmati kerana asyik dengan langkahan. Ketika menuju KM8, langkahan kaki PR sangat kecil. Nak berhenti, rasa sayang pula, nak teruskan berjalan memang terasa sangat berat.
16. Mujur ada suara halus memberi semangat pada PR. Bukan makhluk halus, tapi suaranya sangat perlahan. Gadis berbangsa Cina berjalan seiring memberi semangat. PR pun terikut rentak langkahannya.
17. Ada 30 minit lagi menghampiri jam 7 pagi. Adakah PR sempat untuk menjejak ke puncak? Ada ahli kumpulan kami yang mula turun. Keadaan sekeliling sudah terang benderang. PR terlepas untuk menyaksikan matahari terbit, dek fokus dengan ritma langkahan bersama si gadis.
18. 6.45 pagi, PR Berjaya sampai ke puncak Low’s Peak! Hilang segala rasa penat buat seketika. PR keluarkan telefon untuk merakam saat manis, cuma 1 imej, terus bateri padam sedangkan sebelum pendakian bateri telah dicas penuh.
Inilah 18 memori mendaki Gunung Kinabalu yang tak dapat dilupakan. Walaupun tak banyak gambar yang sempat PR rakamkan, tapi imej dalam minda PR sentiasa segar. Seksa belum habis, episod seterusnya cabaran mendaki turun Gunung Kinabalu!
0 comments