Perjalanan menaiki kenderaan darat dari Johor ke Terengganu sememangnya panjang. Kalau dikira pagar ke pagar antara rumah PR di Iskandar Puteri dan rumah mertua di Marang, perjalanan adalah sejauh 553km. Perjalanan yang jauh memerlukan rehat yang mencukupi bukan sahaja sebelum memandu, malah semasa memandu juga.
Tempat Makan Best Di Pekan
PR selesa memulakan pemanduan awal pagi, baik dari Johor mahupun Terengganu. Menjelang tengahari, PR akan berada di kawasan sekitar Pekan, Pahang. Banyak tempat PR telah berhenti untuk makan tengahari, dan kali ini PR nak review tentang satu tempat makan yang PR dan Ciktom singgah baru – baru ini.
Nasi Kukus My Mama
Ciktom mencadangkan untuk makan tengahari di premis ini, berikutan komen pengguna aplikasi waze, seperti berikut:
Cuba teka apesal sesak weh? Kalau betul, aku belanja nasi kukus my mama – 9/8/19
Lokasi premis Nasi Kukus My Mama yang kami singgah adalah seperti alamat berikut:
No. 26, Lorong Peramu Permai 1,
26600, Pekan, Pahang
Tel: 09-4260769
Berkaitan sejarah premis ini, dan cawangan – cawangan lainnya, anda boleh buat rujukan tambahan lah ye. PR hanya tulis cawangan Pekan sahaja.
Premis Nasi Kukus My Mama ini berkonsepkan seperti restoran makanan segera popular di negara ini, dan menggunakan warna tema merah – hitam dan putih. Molek benar menggunakan warna merah terang, membangkitkan lagi selera orang yang memang tengah lapar kan. Agaknya itu sebab mengapa brand popular memilih warna merah.
Hidangan Set
Nasi Kukus My Mama menyediakan hidangan set dengan harga yang berpatutan. Killer set untuk premis ini sudah tentunya nasi kukus ayam berempah. Namun ada pilihan lain iaitu nasi kukus ayam merah, ayam kicap, opor ayam, kambing masala dan daging kerutuk. Julat harga dari RM9 – RM10.50 [1]
Untuk menu special, iaitu tambahan pajeri nenas dan telur masin, julat harga dari RM11.10 – RM12.50. Kambing masala, harga RM16.85. Harga ini sah semasa PR makan di premis tersebut pada 12 Ogos.
Ruang Makan
Ruang makan yang sangat praktikal dan selesa buat pengunjung. Premis menyediakan tempat makan 2 tingkat. Tandas disediakan di tingkat atas. Bagi yang ingin merasa suasana yang lebih selesa, PR sarankan anda makan di tingkat atas. PR ambil tempat yang mudah untuk menjenguk Axia Ciktom tu.
1 ayam untuk 2 orang
PR memilih set hidangan nasi kukus ayam berempah special, tambahan 1 cawan teh o ais dan 1 bungkus nasi kosong. Jika anda ingin menambah pesanan kuah tambahan, anda akan dikenakan caj tambahan juga. Harga untuk nasi kosong adalah RM2.10.
Portion ayam cukup untuk PR berkongsi dengan Ciktom. Begitu juga kuah dan sambal. Maka, tak perlu untuk membuat pesanan tambahan. Kuah pekat dan sambal (atau sos?) yang pedas memang meningkatkan lagi selera.
Ruang Penambahbaikan
Bagi PR, dari segi rasa dan harga, kira OK je lah. Cuma dari pemerhatian PR, premis ini perlu menambahbaik dari segi kaunter dan tempat orang beratur. Semasa PR ingin beratur memesan makanan, PR terkeliru dengan barisan pelanggan yang sudah memesan makanan – pelanggan beratur menunggu pesanan disiapkan.
Ada 2 kaunter, tetapi cuma 1 sahaja yang aktif. Waktu tengahari adalah waktu puncak, dan premis perlu menjangka akan ramai pelanggan pada masa tersebut. Pelanggan akan beratur panjang sehingga melewati meja pelanggan yang sedang makan. Ini mungkin boleh menyebabkan rasa tidak selesa tambah – tambah yang sedang menjamu selera.
PR Saran Nasi Kukus My Mama
Jadi, dengan sedikit ulasan yang PR garapkan di atas sana, PR dengan ini menyaran kepada anda untuk mencuba Nasi Kukus My Mama, samada di Pekan atau pun di cawangan yang lainnya.
0 comments