Tahun ini, PR akui agak agresif juga dengan hobi mengumpul model kereta diecast. Tambah pula semakin banyak group di FB, whatsapp yang tumbuh bagai cendawan, di mana ahlinya mempamer dan mempromosi model kereta mainan yang pelbagai. Adakala, termakan umpan juga. Hehee
Tambah menarik bila model itu diubahsuai, menjadikan ia lebih realistik ataupun lain dari yang lain. Bila follow group – group ni, memang rambang mata tengok yang ini cantik, yang itu cantik, yang di sana cool, yang di situ kebabomm. Mulalah di hati ini nak cuba juga buat ubahsuai koleksi sendiri.
Kalau ikutkan, tukar cat kereta ni dah lama PR buat. Cuma mungkin teknik dan hasil berbeza. Pada 1998, PR pernah cat semula pada kereta yang telah lusuh dan cat yang terkopak. Tapi masa tu baru 12 tahun, skill pun kurang. Peralatan dan kelengkapan jauh sekali nak dapat yang proper. Rujukan? Langsung tiada.
Cara Custom Model Diecast D.I.Y
Setelah 20 tahun, PR kembali dengan minat untuk ubahsuai model yang ada dengan citarasa sendiri. Tapi hasilnya tidak juga memberangsangkan, masih banyak lagi aspek yang perlu diperbaiki. Apa yang PR nak kongsikan di sini adalah idea. Kemahiran mungkin boleh diasah sampai jadi!
1. Pisahkan Body Kereta
Kebanyakan diecast model ini dibina dengan finishing rivet. Jarang – jarang menggunakan skru. Untuk memudahkan kerja mengecat dan mendapatkan hasil kerja yang lebih baik, anda perlu pisahkan body kereta.
Guna mata gerudi 3.5 atau 4.0 mm dan tebuk bahagian rivet. Kalau tak biasa kerja – kerja menggerudi, sila minta tunjuk ajar yang pandai.
2. Tanggalkan Cat Lama
Kalau guna teknik zaman kuno dulu, PR kikis cat lama menggunakan pisau lipat seposen tu, tapi sekarang lebih mudah untuk tanggalkan cat lama dengan paint remover. Hati – hati bila menggunakan paint remover, kerana ia sangat merengsa. Anda boleh cari di kedai hardware, atau lagi mudah anda order je di Lazada, senang bukan?
3. Undercoat
Sama macam nak cat rumah, anda perlu undercoat. Pilih samada nak guna cat warna putih ataupun menggunakan putty primer. Undercoat ni nipis saja, mungkin hanya perlu selapis atau dua lapisan nipis. Tunggu kering.
4. Cat dengan warna pilihan
Bila dah kering, cuaca pun nampak cantik, anda boleh mula mengecat dengan warna pilihan. PR menggunakan cat tin Samurai. Harga lebih kurang RM7. Kemahiran mengecat ni bukan semua orang master. PR sendiri pun geleng kepala dengan hasilnya. Tapi tak apa, banyak lagi ‘case study’ yang boleh dibuat kajian.
Yang penting, bila nak buat sesuatu yang lain pada body kereta yang sudah dicat, pastikan cat betul – betul kering. Kalau tak, mungkin anda akan alami episod sadis. Hehee
5. Kemasan akhir
Bahagian ini paling menuntut kesabaran dan fokus anda. Yelah mainan ini lebih kurang 3 inci sahaja, jadi perinciannya sangat halus. Untuk mendapatkan hasil yang accurate, anda perlu fokus, sabar dan tenang.
Anda boleh menggunakan masking tape, atau tape khas yang boleh didapatkan di kedai hobi.
6. Livery @ Decal
Bagi menampakkan mainan anda lebih realistik, anda boleh melukis dan mengecat livery di body mainan. Jika terasa leceh, anda keluarkan sahaja modal, mungkin dalam RM10; beli decal @ livery di pasaran tempatan, FB atau IG.
7. Apply Clear Coat
Langkah terakhir, apply clearcoat untuk mematikan segala hasil kerja anda tadi, supaya cat tidak mudah terkopek, livery tidak tertanggal dan hasil kerja anda lebih memukau!
8. Ubahsuai Tayar
Jika anda mahukan variasi pada kereta, anda boleh membeli set tayar. Ada pelbagai jenis tayar di dalam pasaran, dari tayar biasa RM10/set sehingga tayar premium, RM25/set
2 Model Honda Jadi Bahan Ujikaji
Model pertama, PR korbankan Honda Civic EF ’90 (Hotwheels). Tak apalah, modal hanya RM15. Asalnya berwarna merah, bertukar menjadi kuning. Dan model kedua, PR korbankan Honda Civic Type R (Tomica), yang berharga RM25.
Bagi kedua model ini, FK8R nampaknya lebih comot berbanding EF. Lapisan kuning yang nipis menjadikan senang terkopek bila dilekatkan masking tape. Tak sempat clear coat, dah barai. Decal @ livery ini PR ambil lebihan dari model Malaysia Exclusive Honda Civic EF9 (INNO64).
Idea Untuk Dikongsi
Biarpun rasa hasil kerja PR masih jauh lagi untuk mendapat perfect touch, tapi PR rasa seronok dengan hasil kerja sendiri. Itulah hobi.
0 comments