Tidak dinafikan, masakini jumlah pengguna jalanraya semakin meningkat. Bertitik tolak dari itu, bermacam ragam dan sikap pemandu yang boleh diperhatikan baik dengan pemanduan berhemah mahupun sebaliknya. Pada blog entri kali ini, PR ingin menyuarakan pendapat 7 situasi dan sikap pemandu yang boleh mencetuskan ketegangan.
7 Situasi dan Sikap Pemandu Cetus Ketegangan
1. Jalan Berlubang dan Tidak Rata
Kualiti jalanraya yang banyak berlubang dan tidak rata, terutama di jalan utama. Berlubang tu satu hal, bila tidak sempat atau tiada pilihan untuk mengelak lubang.. aduhai... memang menyakitkan hati. Perihal jalan tidak rata ni juga memeningkan kepala. Tambah pula jalan tersebut merupakan laluan harian lori simen.
2. Signal Kenderaan Jadi Hiasan
Sikap pemandu yang gagal menyalakan lampu isyarat untuk beralih haluan boleh menyebabkan perkara tidak diingini. Agaknya pemandu malu untuk memberitahu niat untuk hendak ke mana. Membelok secara tergesa - gesa boleh mengundang kecelakaan baik kepada pemandu itu sendiri atau pemandu lain.
Rasanya sewaktu mengambil ujian memandu, perkara ini dititikberatkan supaya pemandu lain bersedia dengan tindakan anda. Bukannya susah, tak berat pun stick signal tu.
3. Pemanduan Santai Di Lorong Kanan
Kalau anda mahu membawa kereta dengan santai, cuba fikirkan bukan anda seorang membayar cukai jalan! Prihatin dengan pemandu lain, jika anda mahu bersantai eloklah berubah ke lorong kiri ataupun lebih elok bersantai di rumah sahaja.
4. Isyarat Lampu Tinggi
Kereta PR bolehlah dikategorikan kereta yang tidak boleh laju. Jadi PR siap sedia berada di lorong kiri. Tapi ada juga situasi di mana lorong kanan kereta lain sedang memotong, kereta di belakang PR menggunakan isyarat lampu tinggi. Mungkin untuk memberitahu sesuatu yang penting mana tahu ekzos berapi ke, tetapi bila kereta tersebut memotong siap membunyikan hon memberi isyarat kereta PR lambat.
5. Isyarat bertukar Hijau Terus Bunyikan Hon
Ya, ini ada yang PR setuju ada yang tidak setuju.
Setuju bila pemandu asyik berbual atau menatap telefon, tidak sedar lampu isyarat bertukar hijau. Tidak setuju bila baru bertukar hijau, kereta mula bergerak kereta di belakang sudah membunyikan hon. Tak sabar hendak pergi ke mana? Bulan?
6. Pelesit Jalanan
Ada segelintir pemandu yang tidak menghiraukan keselamatan pemandu lain. Bawak kereta macam dikejar hantu. Kalau hendak membawa laju, cuba lah memohon sebagai pemandu perlumbaan. Kadang - kadang, kereta ini menyelit secara merbahaya dan bila berlaku kemalangan, dah jadi satu hal kesesakan lalulintas.
7. Laluan Utama Beralih ke Susur
Apa yang PR perhatikan, pemandu ni kurang sabar. Pemandu tidak mahu beratur panjang menunggu giliran untuk beralih ke susur keluar dari jalan utama. Sebaliknya, mengganggu jalan utama dan tergesa - gesa masuk ke lorong kiri memotong barisan sedia ada untuk masuk ke susur.
Tolonglah hormat pemandu yang mengikut barisan dan hormatkan pemandu yang mengguna laluan utama. Bukan anda seorang yang mahu cepat! Anda boleh lihat situasi ini di susur Taman Ungku Tun Aminah, susur keluar dari Highway Pasir Gudang menghala Skudai dan susur untuk pusingan-U di Persisiran Perling.
Penutup
Mungkin banyak lagi situasi atau sikap pemandu yang boleh mencetus ketegangan. PR senaraikan 7 sahaja yang sangat - sangat menyakitkan hati. Kan elok kalau pemandu sama - sama menjaga keselamatan di jalanraya, boleh mengelakkan kejadian yang tidak diingini, pemanduan tenang dan mencipta mood yang baik di tempat yang hendak dituju baik di rumah mahupun di tempat kerja.
Apa kata anda?
0 comments