Dah lama rasanya blog ini tidak menulis hal - hal yang berkaitan sikap manusia. Ya, walaupun aku bukan di kalangan yang terbaik untuk membincangkan hal sedemikian, tapi sebagai manusia menjadi tanggungjawab aku dalam memperingati dan saling memperbaiki.
Blog entri kali ini cuba memfokuskan tentang keadaan di mana segelintir individu yang sering mengeluh dengan apa yang di lalui dahulu dan kehidupan sebenar sekarang. Antara lontaran isi hati yang selalu di perkatakan ialah "tak payah belajar teruk - teruk, nanti dah kerja tak guna sesen pun apa yang kau belajar".
Bagi manusia yang ingin berfikir, dan sentiasa rasional, ia tidak akan sekali - kali melontarkan pernyataan tersebut. Ilmu pengetahuan sangat penting, bukan hanya untuk diguna pakai sebulan, setahun malah selamanya anda bergelar manusia.
Anda perlu bezakan pembelajaran formal dan informal. Adakah anda belajar berdiri dan memulakan langkahan pertama dalam kelas formal? Adakah anda belajar mengenai sejarah itu merugikan? Tanya diri anda, sekiranya anda gagal untuk mengenal huruf, gagal mengira, adakah anda berada pada kedudukan anda sekarang?
Ia bermula dari perkara asas! Jika anda pandai bercakap, menulis dan mengira hari ini, ia bermula dari perkara asas. Adakah anda fikir semasa mengeja A,B,C suatu ketika dahulu tidak berguna dalam kehidupan mendatang? Pasti tidak, bukan? Dari huruf itulah anda boleh menulis dan membaca, dari huruf itu juga anda mencari rezeki dan tidak mudah di perbodohkan.
Berbalik kepada pernyataan di atas, adakah anda rasa rugi untuk belajar sedangkan ia berbeza dengan apa yang anda kerjakan sekarang? Bagi aku, jawapannya "tidak"! Aku berasa bertuah kerana tidak semua individu berpeluang belajar apa yang kita belajar. Sebagai contoh, ada di kalangan anda yang belajar mengenai Gas Storage & Transportation System?
Seharusnya kita menghargai apa yang kita belajar, kerana itu adalah asasnya. Pokok yang besar ditampung kekuatan akarnya, bangunan yang teguh berdiri kerana asasnya. Manusia hebat kerana pengetahuannya.
Oleh itu, jangan kamu sekali - kali mendabik dada, dan meminggirkan apa yang pernah kamu pelajari. Kalau bukan hari ini, mana tahu esok lusa kamu memerlukan ilmu itu dan jika kamu mengabaikannya, jangan pula berasa menyesal di kemudian hari.
Apa yang dapat aku simpulkan, ilmu pengetahuan ini sangat luas dan nescaya sekalipun kamu telah mengelilingi dunia 7 kali, ia masih belum dapat meneroka segala ilmu. Untuk itu, hargailah apa yang kamu ada, dan jangan sekali - kali memperlecehkannya. Apa kata anda?
0 comments