Selamat Datang Ke padinno.com
Marah
Anda pernah kena marah atau marahkan sesiapa? Agak-agak mana yang lebih seronok, kita kena marah atau kita marahkan orang? Atau seronok tengok orang marah dan orang kena marah? Hehehe.
Menurut Kamus Dewan, marah bersinonim dengan murka, meradang, memberang, gusar, bengis, bengkeng, berangsang, memberangsang, menyerangsang, jengkel, menyebat, mendidih, menyirap, meredap, merengus, mengamuk, panas hati, sakit hati, terbakar naik geram, naik angin, naik darah, naik hantu, naik minyak, naik palak, naik panas, naik setum, naik seh, hangus hati, hangus dada, tersirap hati, merah telinga, menepuk dada, bermengkal hati, menyangkak hati, jaki, murih, sengiang, mengambek, merampang, mendongkol, palak, meranyuk.
Keledek merah pucuk meranti,
Masak lemak di tengah hari;
Sanak marah saudara benci,
Biarlah hamba membawa diri.
Tu dia, kena marah sedikit je langsung merajuk dan membawa diri. Tindakan paling mudah. Kenapa tidak mahu berfikir sekejap dan merenung sejenak mengapa orang marahkan kita. Mengapa kita kena marah. Lebih-lebih lagi kalau ibu bapa kita yang marah, semuanya tak lain tak bukan adalah kerana sayang. Mereka bukan marah benci tetapi marah sayang. Mereka tak mahu kita susah. Sebab apa? Sebabnya kalau kita susah, mereka juga yang susah. Mereka sayangkan kita!
Tak akan ada ibu bapa yang marah benci pada anak-anak. Jangan sesekali salah tafsir pada suara dan riak wajah mereka. Takkanlah bila mereka marah [sayang] mereka nak senyum sampai ke telinga. Hahaha. Tak logik. Lagi pun kalau mereka marah tu, semestinya kerana teguran biasa mereka kita tak ambil endah. Kita tak ambil peduli. Kita dah buat telinga badak je bila mendengar teguran mereka. Pernah kan buat telinga badak?
memukat ikan di waktu petang,
menahan bubu tiada kedapatan;
Berkerat rotan berpatah arang,
Sakitnya hatiku tiada tertahan.
Marah benci hanya di kalangan sesama kita sahaja. Sesama remaja [orang dewasa juga ada yang begini] bukan antara ibu bapa dan anak-anak. Marah benci boleh membawa kepada tidak bertegur sapa, tidak kunjung mengunjung malah ada yang sanggup membinasakan. Kata peribahasa, marahkan nyamuk kelambu dibakar. Kesudahannya punah segala-gala apabila rumah juga turut terbakar!
Marah puncanya dari hati. Walau pun akibat marah lebih banyak kepada keburukan, ia juga boleh diubah ke arah kebaikan kalau kita mahu. Ya, semuanya terletak pada kita. Kalau kita mahu menjadikan rasa marah itu lebih berguna. Kalau marah ketika berdiri, cubalah duduk. Kalau marah ketika duduk, cubalah berbaring. Kalau marah lagi... dan lagi... cuba ambil wuduk. Insya Allah semuanya akan sejuk.
Akhir kata usahlah marah-marah. Kalau nak marah juga, tulis je dalam kotak komen kat bawah. Hehehe
Tentang Penulis | Tehr dalam usaha meningkatkan nilai dan pengajaran menerusi pantun - pantun yang menarik dan bermakna. Mari belajar menulis pantun.
Terima Kasih ~ Datang Lagi
0 comments